Saturday, April 20, 2013

Apabila Perpisahan itu Terjadi

Tidak perlu berasa terlalu sedih dengan setiap perpisahan. Perpisahan adalah pintu untuk pertemuan yang baru. Tanpa perpisahan bolehkah orang baru itu kita kenali, sayangi seterusnya jadi pasangan kita?

Tidak mengapa berasa sedih namun usahlah terlalu sedih. Kesedihan hanyalah ledakan perasaan yang dibauri oleh perisa syaitan. Oleh kesedihanlah ramai orang jadi tidak redha, lantas tanpa disedari menjadi kufur apabila hati kerap mempertikai, mengapa Allah buat begini? Mengapa aku diuji sedemikian rupa? Sedangkan setiap kesedihan hujungnya adalah nikmat. Bila, bagaimana, tiada siapa yang tahu namun ia tetap terjadi.

Jika perlu menangis oleh perpisahan menangislah, tapi usah terlalu lama sebab pintu pertemuan yang baru telah dibuka. Biasanya pertemuan yang baru menjanjikan kegembiraan yang lebih baik kerana kita telah semakin matang oleh pengalaman yang dilalui.

Tanpa manusia terpaksa berenang menyeberang sungai, tidak mungkin jambatan tercipta. Tanpa kepayahan terpaksa berpanas berhujan, tidak mungkin rumah dibina. Hidup adalah pengalaman penuh penganjaran dan juga penuh pengetahuan. Setiap yang dilalui adalah ilmu buat mendepan hari muka. Biar ia berupa sedih pada hari ini, mungkin ia adalah mukaddimah kegembiraan hari esok.

Memang tiada siapa mahukan perpisahan tetapi jika perpisahan itu terjadi, fahamilah bahawa setiap sesuatu akan sampai pada pengakhirannya. Usah sangka perhubungan yang panjang adalah kebahagiaan, kadang-kadang ia lebih rancak oleh masalah yang terpaksa ditangani berpanjangan

Perpisahan adalah kembarnya pertemuan. Setiap kali anda bertemu insan baru, beritahu juga hati, anda akan berpisah dengannya. Bila, dimana, bagaimana, kenapa, tiada siapa yang tahu. Pokoknya perpisahan pasti terjadi. Sama ada oleh hayat yang telah sampai ke penghujung atau sememangnya perhubungan itu telah sampai pada noktah untuk berhenti.

Perpisahan walaupun sakit untuk diterima, bergembiralah kerana kita telah merdeka oleh kerenah yang menyakitkan hidup kita setelah sekian lama. Meskipun setiap orang ada baik dan buruknya, apabila perpisahan terjadi, kenangi selalu keburukannya supaya anda bersyukur akhirnya hidup kembali bermula dari awal. Usah terlalu dikenangi baiknya nanti anda rasa kesal berpanjangan.

Relakan sebarang perpisahan dengan redha dan syukur. Jika mampu senyum, maka ketawalah. Orang yang meninggalkan kita memang ingin lihat kita terluka oleh perbuatannya. Menangis adalah markah buatnya, tetapi tersenyum dan tertawa akan membuatkan hatinya menderita.

Usah tinggalkan kenangan gembira di hati orang yang meninggalkan anda tetapi tanamkanlah kenangan ralat dan kesal dijiwanya. Tanpa matlamat kesedihan tiada siapa mahukan perpisahan terjadi, tetapi andainya manusia sanggup berpisah bukankah bermaksud mahukan kesedihan? Usahlah jadi mangsa pada kesedihan itu tetapi bangkitlah dan deepani hidup baru, moga Allah berikan pengganti yang lebih baik lagi.

Pada setiap perpisahan ada nikmat pertemuan. Perpisahan itu adalah titik awal pada pertemuan yang lebih baik lagi. Tuhan tidak mengsia-siakan hidup hambaNya kecuali hamba itu sendiri yang menjadikan dirinya sia-sia oleh keadaan.

Anggaplah apabila ditinggalkan pergi, ia detik merdeka yang dicari-cari. Kemudian penuhilah ruang kemerdekaan itu dengan wawasan keras untuk hidup lebih baik daipada apa yang pernah dilalui. Berdoa selalu agar Allah temukan dengan insan yang lebih baik agar kehidupan yang berbaki itu bukan lagi sia-sia.
Bangun dan bangkitlah. Keluar dari kepompong kesedihan yang tidak perlu dan pergilah kepada dunia serba baru yang indah penuh berwarna. Kegembiraan seorang Muslim adalah keredhaan Allah terhadapnya. Maka carilah keredhaan itu dan yakinlah anda akan menemuinya.
Sumber: Dr. H.M Tuah Iskandar Al-Haj ~ Majalah Mingguan Wanita

#Suka Lina nak share article yang my mum bagi sebelum Lina balik UPM last month. My mum always want the best for me. Mak tahu apa yang Lina rasa, so dia bagi macam2 article untuk motivatekan anak dia yang manja amat ni ~_^
Artikel yg my mum bagi ni Lina tampal kat dinding sebelah katil